Sudah hampir 4 tahun lebih saya terlibat dalam 2 lapangan yang agak kontra bagi sesetengah pihak. (iaitu dakwah juga perubatan). Maka pandangan saya kadang-kadang,kebanyakannya dipengaruhi oleh 2 bidang tersebut.
Sudah lebih 4 tahun juga post-post saya dalam dalam bidang dakwah sahaja (saya boleh katakan begitu). Hal ini kerana ada satu perkara yang saya pendamkan selama ini. Ya, bidang perubatan amat luas dan saya boleh bercerita pelbagai mengenainya. Tetapi saya rasa saya juga perlu menjentik sedar apabila berbicara berkenaan dunia perubatan. Dan ianya sangat banyak sehingga tidak mampu tertulis selama ini.
Tetapi perkara yang paling merunsingkan saya ialah apabila pesakit yang hadir adalah terdiri daripada mereka yang bermasalah sosial. Semasa berada di posting Perbidanan & Sakit Puan hati saya dirundung pilu melihatkan betapa ramainya kelahiran anak luar nikah saban hari seawal usia 14 tahun. Cuba anda bayangkan pada satu masa hampir 5 orang wanita yang mengandung tanpa suami di sisi berada di dalam ward sebuah hospital kerajaan. Cuba anda bayangkan lagi mereka ini tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta justeru terpaksa menebalkan muka walaupun masyarakat memandang sinis untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Yang mampu mendapatkan rawatan di klinik swasta? Sudah berapa ramaikah dicatatkan? Maka berapa ramaikah manusia(hamba Allah lelaki+perempuan) telah berzina sebenarnya?
Sabda Rasulullah s.a.w "Hindarilah zina krn ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangi umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka." -Hadis riwayat Baihaqi-
Ibrah Tsunami
Tsunami serta bala-bala lain hadir bukan kerana saja-saja. (simpati kepada sahabat-sahabat Acheh dan Indonesia semestinya) Dan al Quran diturunkan juga bukan kerana saja-saja. Bilangan muka surat berkenaan nikmat,azab,bala bencana juga bukan hanya sekadar memenuhi bilangan ayat dan muka surat. Mustahil Allah swt melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Sabda Rasulullah saw: "Umatku akan sentiasa baik selagi belum lahir anak zina di kalangan mereka. Jika anak zina sudah tersebar di kalangan mereka, maka aku bimbang Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka." -Hadis riwayat Imam Ahmad-
Sesetengah masyarakat ada mengatakan kita di Malaysia bersyukur kerana tidak banyak bencana alam yang berlaku. Masyarakat kita aman damai. Kita harus bersyukur. Saya bersetuju di satu sudut,namun tidak bersetuju di satu sudut yang lain.
Adakah jenayah zina,rogol,rompak,bunuh,kecurangan,sumbang mahram dan segala bentuk keruntuhan akhlak itu bukan bala dalam bentuk azab? Jika ianya bukan bala kenapa setiap kali kita mendengar berita tersebut dada kita semakin sempit? Dan kita berdoa agar kita dijauhkan dari perkara tersebut. Hakikatnya kita lebih sempit dari negara yang berperang. Kita dilihat aman, tetapi hati kita sangat bimbang membiarkan anak gadis keluar hatta ke kedai runcit. Kebebasan apakah yang kita nikmati ini?
Adakah perlu untuk kita menunggu akan hadirnya gegaran serta ombak besar yang bisa menenggelamkan seluruh semenanjung Malaysia ini baru kita termagu-magu tersedar ini merupakan bala untuk hamba-hambanya yang lupa di Malaysia ini?
Firman Allah SWT:
( Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi) (Hud: 82)
Firman Allah swt: Dan Berapa banyak umat yang telah Kami (Allah) binasakan sebelum mereka, sedang mereka itu lebih kuat dari mereka (yang sekarang), lalu mereka berhempas pulas mencari rezeki) di dalam negeri. Adakah ada lagi (tempat melarikan diri )daripada maut? (Qaaf: 36)
Mari Menjadi Negarawan
Adakah jawatan itu=tanggungjawab? Dan kita akan berasa tanggung jawab apabila berjawatan. Maka tiada jawatan tangungjawab pun terlepas. Saya tidak Nampak adanya manusia hidup tanpa tanggungjawab, melainkan manusia yang ditarik nikmat kewarasan akalnya untuk berfikir. Hal ini kerana, andai seorang manusia itu tidak memegang apa-apa jawatan sekalipun dia tetap mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah swt.
Bukanlah jawatan kita yang menentukan tanggungjawab. Hakikatnya, semua kita berkongsi tanggungjawab yang sama. Cuma tujuan jawatan itu diwujudkan adalah untuk pembahagian tugas. Namun (rasa) kita tetap sama.
Maksud hadis Nabi: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Khadam (orang gaji) adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu. (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)
Pelajar sekolah perlu mencintai sekolah, menjaganya sebagaimana Tuan Pengetua mencintai dan menjaganya. Pelajar universiti perlu mencintai universiti serta kolej kediaman sebagaimana principal mengambil berat. Bukan mengambil alih tugas,tetapi memiliki kepekaan yang sama. Contoh paling mudah tidak membuang sampah merata-rata dan tidak membuat bising kerana kita mencintai persekitaran kita serta tidak mahu membebankan pihak lain.
Begitu juga dengan NEGARA. Walaupun kita mungkin hanya seorang rakyat yang tidak dikenali, tetapi kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab atas WATAN kita, seakan-akan kitalah seorang Perdana Menteri. Kita patut peka dan sensitif terhadap apa sahaja yang berlaku kepada negara kita, keadaan serta perjalanan negara dan rakyatnya. Kita tidak akan redha sedikit pun anasir buruk menguasai negara kita. Kita tidak akan redha dengan kebobrokan pemimpin atau rakyat yang merompak harta negara. Kita tidak akan redha dengan penghinaan terhadap hukum islam. Kita tidak akan redha dengan peningkatan gejala maksiat yang semakin membarah. Anda redha? Saya tidak.
Kita akan meredhai golongan yang yang akan menyeru untuk kembali kepada deen yang sebenar. Kami akan menyokong apa-apa usaha kearah kebaikan dan kami akan bersama mereka. Kerana Tuhan. Ya, kerana Allah. Kerana Allah kami akan menjadi golongan rakyat yang peka,proaktif dan bertanggungjawab dalam membantu dan membangunkan sebuah negara yang baik dan diredhai Allah. Silakan jika kamu wahai pemimpin ingin merosakkan negara ini, tetapi ingat saya tidak akan sesekali meredhai tugas kalian itu dan Allah Maha Mengetahui!
P/s: Kerana saya tidak mahu Allah menurunkan bencana kepada saya,keluarga saya, serta rakan-rakan terbaik saya dan kamu juga. Kerana bencana terhadap kamu juga akan terkena kepada hamba-hamba Allah yang soleh.Jadi, bertanggungjawablah kerana Allah.