RETRO MALAYSIAN RIDERS

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Yusuf dan Zulaikha


Guru

Status: Offline
Posts: 12639
Date:
Yusuf dan Zulaikha


Nota: Entri ini merupakan Bahagian Akhir trilogi yang bermula dengan 'Daud Dan Bathsheba' diikuti 'Setelah Dirogolnya Caenis'.

Ia adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

________________________________

Assalamualaikum.

Beberapa minggu lepas saya mengikuti rombongan pengantin wanita dalam suatu 'Istiadat Menghantar'. Setelah tiba dan mengambil tempat, Doa Pengantin pun dibacakan oleh Imam dan sekelian undangan mengaminkannya.

Doanya (merupakan bacaan standard di mana-mana majlis akad nikah atau resepsi pengantin) lebih kurang berbunyi begini:

"Ya Allah kurniakanlah restu dan kasih sayang di antara kedua pengantin ini serta eratkan hubungan keduanya sepertimana telah Engkau hubungkan antara Adam dan Hawa, Ibrahim dan Siti Hajar, seperti Yusuf dan Zulaikha.... dan seperti Baginda Muhammad s.a.w. dan Khadijah..."

Selesai santapan halwa Nasi Minyak, tetamu rakan taulan semeja mula berborak kosong. Saya teringat pada Doa Pengantin yang dibacakan tadi dan spontan melakukan statemen berani mati:

"Eh... you all tahu kalau ikutkan Al-Quran, Nabi Yusuf dan Zulaikha TAK PERNAH BERKAHWIN, TAK PERNAH ADA HUBUNGAN CINTA dan lebih dari itu, Zulaikha MERUPAKAN ISTERI ORANG? Kita ni macam dok aminkan doa supaya bini orang buat affair jer..."

Isteri saya membalas statemen berani mati saya tadi dengan satu renungan tajam, seolah menyatakan yang tersirat di sebalik bola matanya yang nyaris tersembul keluar - "Why do you always have to say the wrong things at the wrong place and time?"

Namun itulah hakikatnya. Bukan sahaja Al-Quran tidak langsung menyatakan bahawa Nabi Yusuf dan Zulaikha pernah bercinta atau berkahwin, malah segala Hadith Sahih Rasulullah dan Kitab Perjanjian Lama juga tiada menyebutnya.

Anda juga mungkin terkejut jika saya menyatakan bahawa nama 'Zulaikha' itu sendiri tidak pernah disebut dalam Al-Quran. Beliau hanya dirujuk sebagai 'Imra'ah Al-Aziz' (Isteri Pembesar).

Manakala Kitab Genesis Rabbah juga merujuk beliau sebagai 'Isteri Potiphar'. Nama 'Zulaikha' hanya muncul dalam kitab-kitab tafsir dan buku agama selepas Kurun Ke 17.

Jadi siapakah 'Zulaikha'? Dari mana usulnya?

Surah Yusuf, surah ke 12 dalam Al-Quran (111 ayat) bermula dengan kisah mimpi akan tunduknya "sebelas bintang, matahari serta bulan" terhadap Yusuf (ayat 3-6) dan seterusnya mengisahkan kecemburuan saudara-saudaranya hingga tergamak menolak beliau ke dalam perigi (ayat 7-18). Yusuf akhirnya ditemui oleh sekumpulan musafir, dijualkan mereka kepada seorang Pembesar Mesir dan membesar di negara itu (ayat 19-22).

Kisah 'Zulaikha' atau dalam Al-Quran digelar 'Imra'ah Al-Aziz' hanya bermula pada ayat 23, dengan menceritakan 'godaan-godaan' wanita tersebut yang kebetulan isteri kepada lelaki yang membeli Yusuf sebagai hamba.

Ayat 24 pula (kemungkinan asas di mana 'plot romantika' Yusuf-Zulaikha kemudiannya diperkembangkan sekitar kurun 16) menyatakan:

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa" (Surah Yusuf, ayat 24)

Ayat 25 hingga 29 merupakan episod 'kejar-mengejar keliling rumah', baju Yusuf dikoyak dari belakang oleh Imra'ah Al-Aziz dan bagaimana perbuatan tersebut kantoi setelah suaminya pulang.

Setelah Yusuf dibuktikan tidak bersalah, ayat 30-50 mengisahkan 'gosip lancang mulut tak berinsuran kaum wanita' negeri itu terhadap Imra'ah Al-Aziz, bagaimana wanita-wanita berkenaan terkesima dengan kehenseman Yusuf sampai terpotong jari dan akhirnya membawa Yusuf kepada pilihan untuk dipenjarakan daripada terus-terusan menerima 'godaan' wanita-wanita tersebut.

Ayat 51-54 pula seakan memberikan pengakhiran 'gembira' terhadap episod kekalutan Yusuf dan Imra'ah Al-Aziz, di mana wanita tersebut (dan wanita-wanita Mesir mulut lancang jari kudung) mengakui kesalahan mereka serta memohon keampunan Tuhan.

Selepas ayat 55, ayat-ayat seterusnya sehinggalah Surah Yusuf berakhir dengan ayat 111, tidak lagi menyebut perihal Imra'ah Al-Aziz berkenaan apatah lagi menamakannya sebagai'Zulaikha'.

Bagaimanakah mitos fiksyen percintaan Yusuf-Zulaikha kemudiannya muncul dan akhirnya membuatkan Imam-Imam kontemporari terus 'tersalah faham' kononnya mereka berdua pernah bercinta/berkahwin sehingga bertindak 'mengabadikan' nama mereka dalam Doa Pengantin?

Mungkin jawapannya terkandung dalam kitab 'HAFT AWRANG' (bermaksud 'Tujuh Takhta') yang ditulis sekitar tahun 1468-1485 oleh Nuruddin Abdul Rahman Jami (1414-1492) seorang penulis dan penyair Parsi.

Adalah dipercayai bahawa nama 'Zulaikha' itu adalah rekaan tinta Jami sendiri!

Jami seolah-olah mengunjurkan bahawa Yusuf juga ada menyimpan rasa cinta terhadap Zulaikha walaupun wanita tersebut merupakan isteri orang. Di sebabkan 'keadaan status' yang tidak mengizinkan serta takut akan kemurkaan Tuhan, Yusuf memilih untuk memendamkan saja 'cinta sejati' beliau dengan Zulaikha.

(Andai saja komputer, Internet dan Facebook wujud ketika itu, mungkin Yusuf akan meletakan status perhubungannya sebagai 'It's Complicated', ahaks!)

Rasa cinta tersebut dikatakan bersambut apabila Zulaikha juga semakin hari semakin sayang semakin murung kerana berada dalam rasa gundah merana akibat terpaksa berjauhan dengan Yusuf, lelaki yang sebenarnya amat beliau cintai. Zulaikha menangis saban hari yang kemudiannya beranjak menjadi minggu, bulan dan tahun sehinggalah mata beliau kabur.

Namun dalam kejauhan tersebut, Zulaikha gembira kerana cinta dan gairahnya terhadap Yusuf secara tak langsung telah menemukan wanita itu dengan Kekasih Yang Maha Abadi. Konsep ini seterusnya diperkembangkan lagi oleh ahli-ahli Sufi seperti Mahmud Gami (1765-1855) dan merupakan antara intipati utama dalam kisah-kisah mitos 'Punjabi Qissa' yang disampaikan secara lisan oleh pedagang-pedagang Arab, Iran dan Afghanistan ke Asia Tenggara.

Pendekkan cerita, mitos 'Punjabi Qissa' ini kemudiannya melintang jalan dan menyelinap masuk ke dalam Doa untuk pasangan pengantin-pengantin baru, digunapakai Tok-Tok Imam dan diaminkan para undangan sehinggalah ke hari ini.

Bak kata pepatah klise "Andai kamu menyintai seseorang, lepaskanlah dia. Andai dia kembali padamu maka dialah milikmu selamanya. Andai tidak, maka dia tidak mungkin sebenarnya pernah" - mitos cinta Yusuf-Zulaikha dalam 'Haft Awrang' berakhir dengan 'happy ending' bak kebanyakan filem-filem Hindustan.

Al-kisahnya satu hari Zulaikha yang sudah berumur, berkedut, kematian suami dan selama ini menangisi cinta terlihat kelibat seakan-akan Yusuf di suatu lorong sibuk di tengah kota. Dengan tangisan kegembiraan, Zulaikha berlari ke arah kelibat lelaki yang berzaman dicintainya itu.

"Yusuf..."; Zulaikha memanggil.

Lelaki itu menoleh kepadanya. Benar sangkaan Zulaikha, itulah Yusuf, lelaki yang juga menyintainya.

Bertentanglah dua pasang mata yang menerbitkan rindu abadi sekian lama. Rasa cinta kembali bersemi.

"Di manakah hilangnya segala riak girang kehidupan di wajahmu?"; tanya Yusuf berbaur sayu.

"Semuanya hilang setelah aku berjauhan denganmu..."; jawab Zulaikha dengan airmata berlinangan di pipi.

"Di manakah pula hilangnya cahaya indah di matamu?"; tanya Yusuf lagi.

"Semuanya tenggelam dalam tangisan airmata darah setelah aku kehilanganmu..."; jawab Zulaikha penuh kekesalan.

Kata Yusuf; "Cinta ini telah sekian lama membuatku berpaling dari nafsu dan dosa. Namun hatiku tidak pernah berpaling darimu. Sesungguhnya aku juga amat menyintaimu. Takdir Tuhan telah menemukan kita dan dengan takdirNya juga hati kita kembali bersatu semula akhirnya".

Bagaikan suatu magika, segala kedut raut wajah Zulaikha yang telah dimamah usia kembali bercahaya, kembali muda.

"Hanya satu pintaku, Yusuf"; kata Zulaikha penuh harapan. "Aku ingin bersamamu selamanya dari saat ini".

Malaikat kemudiannya mendatangkan wahyu dari Pencipta Yang Maha Mengasihani:

"Sesungguhnya Kami telah mendengar tangisan dan doa Zulaikha (termasuklah) segala kedukaan, ibadat dan keluhannya. Dengan ini Kami membebaskan jiwanya. Dan dengan ini juga Kami menyatukan engkau abadi bersamanya"

Sesungguhnya tak perlu mencari teman seindah Sulaiman, jika diri tak secantik Balqis.

Tak perlu mengharap kekasih seteguh Ibrahim jika hati tak sekuat Sarah.

Akhir sekali, usahlah mendamba cinta semurni Yusuf andai kasih tak setulus Zulaikha.

________________________________

(Nota: Prosa 'pertemuan semula' Yusuf-Zulaikha merupakan tafsiran peribadi saya sendiri berdasarkan terjemahan puisi dari kitab mitos fiksyen 'Haft Awrang' tulisan Nuruddin Abdul Rahman Jami.

'Episod', puisi serta 'wahyu' di atas adalah merupakan ilham tinta Jami dan bukanlah terkandung dalam Al-Quran. Harap maklum)

Wassalam,
Asrul Muzaffar Mohammed


__________________

 Lepak SANTAI MAT NEGRO!!
-------------------------------

Setiap RABU 5.30 ptg - SEc. 7 baru!!... belakang KFC pintu masuk UITM!!.
Setiap Jumaat 10.30 mlm - Pekan KAPAR!..selepas MOBIL
Setiap Sabtu atau Ahad - Ada Ride RMR!!..JOMM
call aku  - 019-6003900...!! 
laughing.gif

 



Member

Status: Offline
Posts: 21
Date:

hmmm ... agak mengelirukan juga HAFT AWRANG ni.

tumpang tanya bro, pada pendapat bro mamat kapar adakah Punjabi Qissa itu hanya cerita asal yang di tambah ramuan oleh fantasi Jami, atau ianya benar2 mitos saja?

selama ni yg saya tau Zulaikha itu adalah isteri kepada Futhifar,bapa kepolisian Mesir dan Yusuf tak pernah tunduk pada kemahuan Zulaikha walau di goda dan di duga dengan pelbagai cara dan tak pernah saya terbaca bahawa Yusuf pernah berkahwin dengan Zulaikha.

adakah kita dah terlalu lama terdedah dengan cerita mitos atau cerita beramuan tambahan atau ada cerita yg lebih BENAR yg belum kita/saya pelajari? confuse

harap tunjuk ajar



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.



Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard